Tuesday, September 29, 2009

Sejarah Puisi Moden

Kemunculan puisi moden atau sajak secara umumnya dapat dikatakan beriringan dengan kemunculan sikap dan fikiran baru dalam masyarakat kita. Perubahan berlaku agak perlahan dan tidak drastik. Puisi moden yang pertama dihasilkan oleh Omar Mustaffa dalam tahun 1913. Karyanya berjudul Angan-Angan dengan Gurindam tersiar dalam Utusan Melayu, 18 Januari 1913. Usaha Omar Mustaffa tidak segera diikiuti oleh penulis-penulis lain. Hanya setelah dua dekad kemudian – dalam tahun 1933 – barulah muncul sajak-sajak yang lebih dikenali sajak-sajak awal Tanah Melayu.

Semenjak tarikh tersebut, muncul lagi sajak-sajak yang lebih moden. Sajak-sajak yang tercipta jelas membawa kemajuan dari segi tema dan gaya. Penyair yang mencipta sajak-sajak tersebut rata-ratanya bergerak dalam Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50).

Tema puisi Melayu memang jelas memperlihatkan kemajuan. Tema puisi dikatakan maju kerana ada usaha penyajak membawa aliran baru, pemikiran baru, dan gaya baru dalam karya mereka.Tema turut berubah mengikut peredaran zaman,Dalam dekad 30-an dan 40-an misalannya, kebanyakan penyair menulis puisi mereka dalam suasana romantik dan melankolik. Mereka dikongkong oleh teknik dan gaya puisi klasik. Bahasa mereka lembut dan nada mereka mendayu-dayu. Ini sesuai dengan lenggang kehidupan mereka pada dekad itu.

Dekad 40-an, khususnya dalam zaman pemerintahan Jepun di Tanah Melayu (1942-45), terhasillah sajak-sajak yang mempunyai ciri-ciri tertentu. Persoalannya diuliti dengan dasar dan cita-cita pemerintah Jepun yang dilaungkan melalui slogan 'Asia Timur Raya Makmur Di Bawah Pimpinan Dai Nippon'. Sekitar tahun-tahun tersebut, Jepun menggunakan akhbar dan majalah sebagai media untuk meniupkan propaganda mereka melalui slogan 'Asia untuk Asia'. Suara penyair dalam dekad 40-an ternyata lebih optimis dan patriotik nadanya jika dibandingkan dengan suara penyair sebelum Perang Dunia Kedua.

Penerokaan daerah tema yang lebih meluas mulai jelas dan ketara dalam tahu-tahun 60-an. Dalam tahun-tahun 70-an dan 80-an, tema puisi Melayu semakin rencam dan beragam sifatnya dengan teknik yang menarik dan lebih kukuh Beberapa orang penyair yang mula menulis dalam tahun 60-an dan masih menulis hingga sekarang telah memperlihatkan graf kemajuan yang menggalakkan.

Demikianlah secara ringkas pekembangan puisi Melayu moden semenjak awal pertumbuhannya. Pendidikan, pengalaman, dan pengaruh yang diterima oleh para penyair turut membantu mereka menghasilkan sajak-sajak yang bermutu, dan menjadi aset yang berharga bagi khazanah kesusasteraan Melayu.

No comments:

Post a Comment